HIKMAH IBADAH HAJI
Posted by
Nor Azlina
on Tuesday, January 19, 2010
Labels:
Agama
Ibadah haji yang mula dilaksanakan oleh nabi Adam a.s. , membawa erti dan pengajaran yang amat besar kepada manusia sejagat.
Setiap tahun berjuta-juta umat Islam dari seluruh pelusuk dunia dengan tujuan yang satu berkumpul dan melaksanakan ibadah haji. Kerajaan Arab Saudi terpaksa menentukan ‘quota’ tertentu ke atas negara-negara di seluruh dunia untuk menghadkan jumlah orang yang mengerjakan Ibadah Haji bagi mengelak kesesakan. Ada yang terpaksa menunggu giliran melebihi sepuluh tahun untuk menunaikan Fardhu Haji. Di Malaysia, dimaklumkan oleh pihak Tabung Haji Malaysia bahawa sekiranya seseorang mendaftar pada bulan ini (Januari 2010), dijangka mendapat giliran mengerjakan Haji pada tahun 2029.
Musim haji bagi tahun 1430H/2009M baru sahaja berakhir. Kira-kira 3 juta orang Islam dari seluruh dunia telah selesai mengerjakan ibadah haji yang merupakan rukun Islam kelima. Terbukti, kebesaran Allah s.w.t menjemput hambaNya sebagai tetamu dari berbagai keturunan, warna kulit dan latar belakang. Walaupun dunia digemparkan dengan wabak penyakit H1N1, namun Baitullah tetap penuh sesak dengan manusia yang ingin mengabdikan diri kepada penciptanya. Malah tidak timbul pun masalah merebaknya penyakit H1N1 disebabkan perjumpaan besar umat Islam tersebut.
Hujan yang turun pada tanggal 8 Zulhijjah yang lalu telah menyebabkan banjir di Jeddah malah telah mengakibatkan lebih seratus orang terkorban, pastinya ada hikmah tersendiri di sebalik kejadian tersebut. Bagi orang Arab, mereka tidak pernah menyangkal bahawa hujan yang turun merupakan hujan rahmat dari Allah s.w.t. Akibat daripada hujan yang turun tersebut, di padang Arafah juga turut mendapat manfaat. Hujan yang turun sehari sebelum wukuf di Arafah telah menyebabkan keadaan persekitaran yang terhindar daripada debu. Suasana sepanjang waktu siang yang nyaman, tidak panas sejak dari pagi hingga ke sebelah petang.
Setiap kali musim haji, sejak tanggal 8 Zulhijjah lagi, kebanyakan jemaah haji sudah mula berpakaian ihram. Pada tanggal 9 dan 10 Zulhijjah, tidak seorang pun jemaah haji akan terlepas daripada memakai pakaian ihram. Malah ada di antara jemaah haji berada di dalam pakaian ihram untuk tempoh yang lebih lama atas sebab-sebab tertentu (mengikut syariat) seperti mereka yang memilih Haji Ifrad atau sebagainya. Berpakaian ihram yang seragam melambangkan semua umat manusia samada kaya atau miskin, berpangkat atau tidak, rakyat atau raja, semuanya sama di sisi Allah s.w.t. Sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud ”Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu adalah yang paling takwa dari kalangan kamu.”
Amalan haji di Arafah, Mudzalifah dan Mina selama 4-5 hari menuntut jemaah haji supaya sentiasa memberi hak sesama jemaah haji yang lain. Keadaan kekurangan air, tandas yang terhad, makanan yang tidak memenuhi selera dan sebagainya merupakan cabaran dan dugaan. Situasi sebegini juga merupakan penilaian kepada tahap iman jemaah haji tersebut. Di sini, kita boleh menilai diri sendiri dari segi hubungan sesama manusia (hablumminannas). Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w bahawa “Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga kamu mengasihi saudara kamu sepertimana kamu mengasihi diri kamu sendiri.”
Allah s.w.t menjanjikan pengampunan kepada mereka yang menunaikan fardhu haji. Hati akan tunduk kepada kekuasaan Allah, kebesaran Allah s.w.t akan diperlihatkan, terasa betapa kerdilnya kita sebagai hambaNya.
Semua jemaah haji akan pulang dengan pengalaman dan pengajaran yang tersendiri. Ramai yang menceritakan bagaimana peristiwa-peristiwa yang berlaku ke atas mereka merupakan teguran-teguran ke atas sikap mereka yang tertentu. Pengalaman dan pengajaran tersebut akan memberi kesan membentuk peribadi jemaah haji tersebut kepada yang lebih baik. Mereka yang pernah mengunjungi Baitullah, pastinya menyemat keinginan dan harapan yang tinggi untuk mengunjunginya semula pada masa yang akan datang samada dengan mengerjakan haji atau umrah.
Terima atau tidaknya ibadah seseorang adalah urusan Allah s.w.t, namun sebagai hambanya hendaklah kita berusaha mempersembahkan yang terbaik kepada Pencipta (khaliq) kita. Sehubungan itu, setiap jemaah haji hendaklah memastikan harta yang bersih sahaja digunakan untuk menunaikan Ibadah Haji. Seboleh-bolehnya semua pinjaman-pinjaman yang masih ada, tidak satupun terlibat dengan riba. Selebihnya, kita hanya mampu berserah dan mengharapkan rahmat daripada Allah S.W.T.
Sebagaimana ibadah solat, puasa dan zakat, amalan haji mempunyai hikmah-hikmah tersendiri yang disediakan oleh pencipta manusia. Allah s.w.t adalah pencipta manusia dan Maha Mengetahui apa-apa yang diperlukan oleh manusia dan apakah yang terbaik untuk manusia lakukan serta apakah perkara-perkara yang perlu manusia jauhkan...
Semoga Allah S.W.T mengurniakan haji MABRUR kepada semua jemaah haji bagi musim haji yang baru sahaja berlalu..Wallahu a’lam.
0 comments:
Post a Comment